PILIHAN : Green Blue Default

header website bm

Haiwan Kesayangan

images

KAJI selidik yang dikendalikan di Amerika Syarikat (AS) mendapati 63 peratus atau 71.1 juta orang daripada isi rumah di negara itu memiliki haiwan peliharaan.

Statistik itu yang dipetik dari laman web Wikipedia menunjukkan lebih separuh daripada responden atau isi rumah memelihara lebih daripada sejenis haiwan.

Satu lagi kaji selidik yang dilakukan di AS pada 2007/2008 mendapati lebih ramai isi rumah memelihara anjing berbanding kucing. Tetapi jumlah kucing yang dipelihara pencinta haiwan di negara itu lebih tinggi daripada anjing.

Senario sama mungkin dapat dilihat di Malaysia andai kaji selidik seumpama itu dilakukan bagi menilai kecenderungan isi rumah memelihara haiwan. Sejak manusia berdamping dengan haiwan termasuk belajar kaedah menjinakkan binatang berkurun lalu, haiwan menjadi teman karib. Malah dalam keadaan tertentu, haiwan peliharaan dianggap anggota keluarga sendiri.

Haiwan peliharaan atau pet merujuk kepada binatang yang dibela untuk tujuan berseronok atau menjadi teman. Haiwan peliharaan ini fungsinya berbeza dengan binatang yang dibela untuk tujuan ternakan, kajian atau haiwan yang dilatih dalam acara sukan seperti kuda. Haiwan peliharaan di rumah bukan dibela untuk tujuan ekonomi sebaliknya bersifat riadah dan terapi diri.

Kajian menunjukkan hobi memelihara haiwan dapat mengurangkan tekanan. Tidak ada apa yang lebih menggembirakan bagi pencinta haiwan tatkala membelai kucing kesayangan, memberinya makan atau melihat Si Tompok berlari-lari menerpa anda setiap kali pulang ke rumah.

Hobi membawa binatang peliharaan seperti anjing berjalan-jalan setiap petang juga mampu merapatkan interaksi sosial selain beroleh faedah dari aspek kesihatan bagi penjaga dan binatang kesayangan.

Haiwan comel seperti kucing, arnab dan pelbagai spesies burung misalnya menarik perhatian siapa saja. Tidak hairanlah acara yang membabitkan haiwan peliharaan seperti ekspo, pertunjukan dan pertandingan haiwan paling comel sering mendapat sambutan terutama dari kalangan pencinta haiwan.

Muncul kali kedua dengan skala lebih besar, Pertunjukan Pet World Malaysia 2009 yang akan membuka tirainya di Pusat Pameran Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur, mulai Jumaat depan, menjanjikan keseronokan seisi keluarga.

Mencatat sejarah tersendiri, lebih banyak syarikat yang terbabit dalam industri haiwan peliharaan menyertai Pertunjukan Pet World 2009 dengan kadar penyertaan melonjak lebih 50 peratus. Sambutan hangat ini menjadi petanda pasaran haiwan peliharaan di Malaysia berpotensi besar untuk berkembang dan yang penting, pengunjung dapat melihat lebih banyak spesies haiwan peliharaan kali ini.

Antara syarikat yang akan menyertai acara hebat ini tahun ini ialah DHKS (IAMS & Eukanuba); Qian Hu dan Blackwood. Manakala CSL Thean Yeang; Gladron; Yuushou Marketing (Nutriedge) dan House of Groomers yang pertama kali menyertai Pertunjukan Pet World Malaysia 2009.

Penganjur pertunjukan menjanjikan lebih banyak keseronokan kali ini. Jika pada acara sama tahun lalu, segmen pertandingan kucing tercantik dan sukan anjing Pet-N-You mendapat sambutan, kali ini lebih banyak acara seumpama itu akan diadakan.

Selain siri kedua pertandingan kucing dan anjing yang bakal menanti pengunjung, acara lain seperti Jadilah Ikon - Pertandingan Tata Rias Malaysia Antarabangsa dijadualkan mengisi segmen acara sepanjang Pertunjukan Pet World Malaysia 2009. Turut dianjurkan untuk pertama kalinya ialah Pertandingan Kreatif dan Penggayaan serta Pertunjukan Arnab Kebangsaan.

Apa yang menarik, Pertunjukan Pet World Malaysia 2009 disokong Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) yang akan mengadakan kempen antikeganasan haiwan selain menganjurkan taklimat dan ceramah mengenai kesihatan haiwan peliharaan dan penjagaannya kepada pengunjung.

Selain itu, penganjur mempelawa organisasi kebajikan haiwan seperti Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA); Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS); Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia (MNAWF) dan Tabung Alam Sedunia (WWF) mengadakan pameran dan sesi penerangan sepanjang pertunjukan tiga hari itu.

Ketua Eksekutif Fairs & Events Management Sdn Bhd (FEMSB) yang menganjurkan Pertunjukan Pet World 2009, Jonathan Kan, berkata acara ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap penjagaan kesihatan dan perlindungan haiwan peliharaan.

“Ini adalah acara terbaik menghimpunkan semua pihak yang terbabit dalam industri haiwan peliharaan seperti pembekal dan peruncit serta pencinta binatang ke arah usaha memperkasakan industri haiwan peliharaan di Malaysia,” katanya.

Jangan lupa, temu janji anda di Pertunjukan Pet World Malaysia 2009, Jumaat depan. Bawa bersama haiwan kesayangan dan sertai pelbagai aktiviti menarik disusun penganjur. Pencinta haiwan juga boleh mendapatkan potongan diskaun pelbagai barangan dan aksesori haiwan peliharaan sepanjang pertunjukan ini.

Bagi mereka yang terbabit dalam industri haiwan peliharaan, semestinya Pertunjukan Pet World Malaysia 2009 menjadi landasan terbaik meluaskan jaringan dan potensi pasaran.

Sumber: Berita Harian